Sumber dari : Harian Metro
Ramai
berpendapat menaiki pesawat bersama bayi berusia bawah dua tahun adalah suatu
yang cukup mencabar, lebih-lebih lagi jika terpaksa mengembara berdua
bersamanya.
Anak
cerewet, hendak berlari-lari dalam pesawat, menangis sepanjang penerbangan,
susah hendak menyusukan anak dan banyak lagi perkara yang menjadi kerisauan.
Namun,
penerbangan anda boleh menjadi lebih mudah dan menyenangkan dengan perancangan
teliti, tidak kira anda mengembara berdua saja dengan bayi atau bersama ahli
keluarga lain.
Oleh itu, tip melancong minggu ini memberikan beberapa panduan kepada ibu yang
akan menaiki pesawat untuk sampai ke destinasi dituju.
Dapatkan
penerbangan yang betul
Lihat jadual bayi anda dan anda mungkin boleh merancang perjalanan ketika waktu
tidurnya. Dengan perancangan teliti itu, anak boleh tidur lena sepanjang
penerbangan ke destinasi dituju, sekali gus memberi peluang kepada anda untuk
berehat.
Jika bayi anda sudah menunjukkan tanda mengantuk ketika di balai menunggu,
usahakan untuk membuatkan dia tidak tidur sebelum masuk dalam pesawat dengan
mengalihkan perhatiannya kepada apa juga perkara atau bermain bersamanya.
Ini bagi mengelak dia tidur sebelum menaiki pesawat dan membantu dia lena
sepanjang penerbangan.
Kerusi tambahan untuk bayi yang sudah boleh duduk
Bayi berusia dua tahun ke bawah biasanya tidak memerlukan kerusi dan hanya
duduk di riba ibu atau bapa.
Namun, bagi memberi keselesaan kepada anda sepanjang penerbangan terutama yang
mengambil waktu panjang, mengambil satu lagi kerusi adalah digalakkan.
Dengan menempah tempat duduk tambahan, anda boleh membawa ‘carseat’ anda ke
atas pesawat dan anak kapal akan membantu anda untuk memasangnya. Bagi anak
yang sudah boleh duduk, mereka pastinya boleh duduk dengan selesa dengan kerusi
tambahan yang anda minta.
Caj tambahan sememangnya dikenakan tetapi ia tidak semahal yang disangkakan dan
pastinya anak dan anda dapat duduk lebih selesa.
Bagi bayi yang tidak boleh duduk sendiri, anda mungkin boleh menggunakan anduh
atau kain untuk memberikan keselesaan.
Pemilihan tempat duduk di dalam pesawat
Ketika memilih tempat duduk dalam pesawat, pilih tempat duduk berdekatan
tingkap untuk mendapatkan lebih privasi kepada anda dan anak.
Selain itu, anda juga boleh memilih tempat duduk yang memudahkan anda untuk bangun
ketika menukar lampin atau untuk melayan kerenah anak yang ingin berjalan-jalan
dalam pesawat.
Pakaian mudah
Ketika melakukan penerbangan terutama jika anda berdua sahaja bersama bayi,
pastikan pakaian yang anda dan anak pakai adalah pakaian ringkas.
Bayi terutamanya pakaikan dia pakaian yang mudah untuk dibuka sama ada untuk
menukar pakaian atau menukar lampin.
Pastikan juga anda tidak menggunakan kasut bertali untuk bayi anda apabila
terbang bersamanya kerana ia memberi kesukaran atau melecehkan saat mahu
membuka seluarnya.
Pakaian yang anda kenakan pada bayi pula biar bersesuaian supaya dia selesa
sepanjang penerbangan.
Untuk mengelakkan bayi anda kesejukan, anda mungkin boleh memakaikan dia baju
yang sedikit tebal atau membawa jaket khas untuknya.
Pastikan semuanya lebih mudah untuk anda uruskan ketika terbang berdua bersama
bayi.
Barang keperluan secukupnya
Pastikan anda mempunyai lebih daripada cukup segala-galanya dalam kes
penerbangan anda terlewat. Ini bermakna lampin tambahan, pakaian tambahan,
makanan ringan tambahan, tisu tambahan dan susu formula tambahan.
Pastikan juga anda membawa pakaian sesuai dengan suhu dalam pesawat untuk bayi
dan anda sendiri. Baju tambahan untuk anda juga jangan diabaikan.
Simpan semua keperluan ini dalam beg lampin anda yang akan sentiasa dibawa
bersama untuk menyenangkan anda.
Jangan malu untuk meminta bantuan
Anak kapal boleh membantu anda untuk mendapatkan keselesaan sepanjang
penerbangan. Mereka juga bukan saja boleh membawakan air untuk membuat susu,
mengambil barang dalam tempat penyimpanan barang, bahkan menjaga anak anda
sementara anda mahu ke bilik air.
Anda jangan malu untuk meminta bantuan daripada mereka.
Bayi menangis di dalam pesawat
Banyak faktor yang menyebabkan bayi menangis dalam pesawat dan satu daripadanya
adalah tidak selesa terhadap tekanan yang dirasai mereka.
Orang dewasa juga sering mengalaminya, inikan pula bayi yang membuatkan telinga
mereka sakit dan sebagainya.
Bagi mengelak perkara ini berlaku, pastikan anda memberikan bayi anda susu,
makan, minum atau apa saja yang boleh membuatkannya menelan sebaik pesawat
berlepas sehingga isyarat tali pinggang keledar dipadamkan.
Lakukan perkara sama ketika pesawat mendarat. Pastikan juga si dia sentiasa
selesa berada di tempat duduk dan sediakan permainan yang boleh menghilangkan
kebosanannya.
Membawa si dia berjalan-jalan buat seketika dalam pesawat juga boleh mengelak
daripada meragam dan menangis.
Penyusuan susu ibu
Bagi anda yang menyusukan bayi, mengambil kerusi di tepi tingkap adalah pilihan
terbaik. Ia bukan saja memberikan keselesaan kepada anda ketika menyusukan anak
tetapi juga lebih terlindung daripada penumpang lain.
Jika penumpang di sebelah tempat duduk anda adalah lelaki yang bukan pasangan
anda, minta bantuan anak kapal untuk meminta supaya anda ditempatkan di tempat
duduk bersebelahan perempuan.
Peti kecemasan
Bawa bersama anda peti kecemasan sendiri. Di dalamnya letakkan ubatan yang
digunakan anak anda sekiranya diserang masalah kesihatan secara tiba-tiba.
Misalnya ubat batuk, ubat demam, ubat selesema, pembalut luka dan salap berwap.
p/s- insyallah nanti nak travel dengan aziz pergi tempat jauh sikit.. travel berdua jer..
have a safe journey with your baby :p
sharing is caring
Thank you for reading this entry !!